Soalan Lazim

BAHAGIAN KESIHATAN AWAM

1) Sekiranya saya hendak membuat aduan mengenai ketidakpuasan pelangggan berkaitan perkhidmatan di Klinik Kesihatan, di mana saya boleh membuat aduan tersebut?

Anda boleh membuat aduan tersebut di Pejabat Kesihatan Daerah di mana letaknya Klinik Kesihatan tersebut ataupun anda boleh menghubungi Unit Kualiti, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di talian : 03-51237304.

2) Bagaimana cara untuk saya melaporkan insiden kejadian penyakit berjangkit seperti Penyakit Tangan, Kaki, Mulut (HFMD), Keracunan Makanan, Denggi dan lain-lain yang berlaku di kawasan saya?

Anda boleh melaporkan semua penyakit berjangkit seperti di atas kepada Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan anda atau di mana kawasan wabak berlaku.

3) Bagaimana saya boleh mendapatkan vaksinasi seperti suntikan vaksinasi meningococal meningitis bagi tujuan menunaikan umrah?

Anda boleh mendapatkan suntikan tersebut di Klinik Swasta yang memberi perkhidmatan vaksin tersebut di kawasan anda.

4) Berapa lama tempoh seseorang Pekerja Sinaran perlu menjalankan pemeriksaan perubatan berkala dengan menggunakan 'Buku Pemeriksaan Perubatan untuk Pekerja Sinaran LPTA BM/5 (A)?

Setiap 3 tahun sekali.

5) Berapakah tempoh maksimum sah laku lesen "MENGGUNA" radas penyinar yang dibenarkan untuk klinik pergigian dan veterinar swasta?

 2 tahun sahaja.

6) Siapakah individu yang dibenarkan untuk mengendali dan menggunakan mesin X-ray bagi tujuan perubatan?

Juru X-ray bertauliah sahaja dibenarkan. (Rujuk Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Bil.28/2010)

7) Kempen Pelalian HPV (Lindungi Anak Gadis Anda)

       a) Apakah Kanser Servik?

Kanser yang terjadi di bahagian pangkal rahim (servik). Kanser ketiga paling kerap dikesan di kalangan wanita selepas kanser payudara dan kanser kolorektal. Di anggarkan 1,500 wanita Negara ini disahkan mendapat kanser servik setiap tahun. Kanser servik menyumbang 6% dari jumlah kematian akibat kanser di kalangan wanita.

 

b) Apakah Human Papilloma Virus (HPV)?
HPV adalah penyebab utama kanser servik. Setiap wanita berisiko dijangkiti HPV selepas berkahwin.

c) Apakah Pelalian HPV?
Pelalian yang diberi untuk mencegah kanser servik akibat jangkitan HPV. Pelalian ini diberi secara suntikan di lengan sebanyak 3 kali dalam tempoh 6 bulan mengikut jadual berikutSuntikan pertama - tarikh pelalian pertama diberi di sekolah/kllinik.
- Suntikan kedua    - 1 bulan selepas suntikan pertama.
- Suntikan ketiga    - 6 bulan dari suntikan pertama.
- Vaksin yang digunakan untuk pelalian ini tidak mengandungi produk yang meragukan.

d) Kenapa anak gadis 13 tahun saya perlu mendapatkan Pelalian HPV?
Anak gadis anda berisiko untuk dijangkiti HPV. Pelalian ini boleh melindunginya dari mendapat kanser servik di masa akan datang.
Pada masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia hanya memberi pelalian secara percuma kepada semua gadis 13 tahun.

e) Di mana anak gadis saya boleh mendapatkan Pelalian HPV?
Jika anak gadis anda bersekolah, pelalian akan diberi di sekolah. Jika anak gadis anda tidak bersekolah, dapatkannya di klinik kesihatan.

f) Bagaimana sekiranya anak gadis saya yang tidak termasuk di dalam kumpulan sasar ini hendak mendapatkan pelalian?
Pelalian ini hanya diberi kepada remaja perempuan yang bersekolah di tingkatan 1 dan/atau berumur 13 tahun pada tahun semasa. Bagi golongan yang tidak termasuk dalam kumpulan yang disasarkan, pelalian ini boleh didapati di klinik dan hospital swasta dengan kadar caj tertentu.

g) Apakah peranan saya sebagai ibubapa/penjaga?
- Beri persetujuan bertulis untuk melayakkan anak anda menerima pelalian secara percuma.
- Pastikan anak anda melengkapkan tiga suntikan pelalian secara percuma.
- 3 suntikan pelalian boleh memberi perlindungan optima untuk gadis anda dari jangkitan HPV.

h) Siapa yang akan memberi suntikan?
Suntikan akan diberikan oleh anggota kesihatan yang bertauliah dan terlatih.

i) Adakah vaksin ini halal?
Vaksin ini tidak mengandungi produk yang meragukan.

j) Adakah anak gadis saya akan mengalami masalah selepas disuntik?
Pelalian ini adalah selamat. Seperti pelalian lain, anak gadis anda mungkin mengalami sakit atau bengkak di tempat suntikan.
Sekiranya, anak gadis anda mengalami masalah lain akibat suntikan, sila dapatkan rawatan susulan di klinik atau hospital yang berdekatan.

k) Adakah pelalian ini akan menyebabkan anak saya mandul?
Tidak. Pelalian ini tidak menyebabkan kemandulan.

l) Apakah keadaan yang tidak membolehkan anak gadis saya diberi Pelalian HPV?
Anak anda tidak akan diberi pelalian atas sebab-sebab berikut :
- Pernah mengalami kesan sampingan teruk setelah menerima suntikan pertama atau suntikan kedua.
- Pernah mengalami alahan teruk yang perlu dirawat di hospital.
- Hamil.

m) Apakah tindakan saya jika anak saya terlepas tarikh temujanji pelalian?
Jika anak anda tidak sihat atau tidak hadir ke sekolah pada hari pelalian, tarikh temujanji baru akan diberi oleh anggota Kesihatan.
 
8) Ujian Saringan HIV

a) Bagaimanakah cara untuk melakukan ujian saringan HIV??

Boleh terus datang ke mana-mana klinik kesihatan berdekatan dan memilih untuk membuat saringan sukarela (VCT) atau tanpa nama (anonymous). Sila rujuk pada bahagian Fokus Kesihatan untuk senarai klinik kesihatan yang menjalankan ujian saringan dan rawatan HIV.

 

b) Adakah ujian saringan pra perkahwinan memerlukan temujanji dan berapakah caj bayaran yang dikenakan?

Ujian saringan pra perkahwinan tidak memerlukan temujanji terlebih dahulu dan ujian ini adalah percuma untuk semua warganegara Malaysia.

 

c) Adakah saya perlu datang lagi untuk keputusan ujian saya?

 Ujian saringan HIV siap dalam masa 15 minit sahaja dan temujanji susulan bergantung kepada keputusan ujian anda.

 

d) Bagaimanakah kerahsiaan saya dijaga?

 Semua rekod mengenai anda seperti nama dan maklumat lain adalah sulit, rahsia dan didilindungi.

 

 

myGov.fw moh.fw jpa.fw
info sihat.fw myhealth.fw

Jumlah Pengunjung:
7168355

  • Kemaskini Terakhir : 18 Ogos 2017
Totop Scroller