Bahagian Farmasi

Indeks Artikel


Aktiviti Unit Penguatkuasaan Farmasi


Penguatkuasaan Farmasi berperanan dalam penguatkuasaan dan pengawalan import/eksport, pengeluaran, pengendalian, pengedaran, penjualan ubat-ubatan dan sediaan farmaseutikal bagi memastikan kehendak undang-undang dan peraturan- peraturan dipatuhi.

Objektif Penguatkuasaan Farmasi juga adalah untuk memastikan keluaran farmaseutikal dan produk-produk kesihatan di pasaran berkualiti, selamat dan berkesan serta mudah diperoleh oleh orang awam.
Penguatkuasaan Farmasi turut berperanan untuk menggalakkan penggunaan ubat-ubatan secara rasional dan berkesan melalui pendidikan kepada pengguna.

Aktiviti penguatkuasaan farmasi termasuk
  1. Pemeriksaan dan Pelesenan
  2. Risikan dan Operasi
  3. Penyiasatan dan Pendakwaan
  4. Pemeriksaan di Pintu Masuk (Pengimportan)
  5. Kawalan Iklan
  6. Perlindungan Pengguna

Aktiviti penguatkuasaan ini dijalankan berlandaskan kepada undang-undang berikut
  1. Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturannya
  2. Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan-Peraturannya
  3. Akta Jualan Dadah 1952
  4. Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984
  5. Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956
  6. Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 dan Peraturan-Peraturannya

Media sosial yang menarik untuk dilayari sempena kempen Jom Kenal Ubat
  1. FanPage JomKenalUbat https://facebook.com/Jomkenalubat/
  2. Twitter JomKenalUbat   https://twitter.com/JomKenalUbat?
  3. YouTube JomKenalUbat  www.youtube.com/user/JOMKENALUBAT
  4. Instagram Jom Kenal Ubat https://www.instagram.com/jomkenalubat/
 
Pemeriksaan
Objektif pemeriksaan adalah untuk meninjau kesesuaian premis dan kepatuhan pemegang lesen terhadap peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan dan syarat-syarat lesen. Pemeriksaan dilakukan bagi permohonan lesen yang baru dan permohonan pembaharuan lesen sebelum lesen dikeluarkan. Selain itu, pemeriksaan ke atas premis tidak berdaftar turut dilakukan misalnya di kedai-kedai ubat dan runcit.

Pelesenan
Aktiviti ini bertujuan untuk memastikan lesen racun dan permit dikeluarkan kepada orang yang berkelayakan mengikut peruntukan dalam Akta Racun 1952. Ia juga bertujuan memastikan pihak yang berkenaan mematuhi peruntukan-peruntukan dan syarat-syarat sebagai pemegang lesen.

Jenis-jenis Lesen yang dikeluarkan termasuk

Lesen Jenis A 
Lesen yang dikeluarkan kepada Ahli Farmasi berdaftar untuk mengimport, menyimpan dan berurusniaga secara borong dan runcit, borong sahaja atau runcit sahaja semua jenis racun menurut Akta Racun 1952

Lesen Jenis B
Lesen yang dikeluarkan kepada seseorang yang layak untuk
a) mengimport, menyimpan dan menjual secara borong bahan kimia yang mengandungi racun (bukan racun kumpulan A)
b) mengimport bahan kimia yang mengandungi racun tertentu (bukan racun kumpulan A) untuk kegunaan kilang
c) membeli racun tertentu untuk mengilang dan seterusnya menjual makanan ternakan haiwan yang dikilangkan

Lesen Jenis E
Lesen yang dikeluarkan kepada seseorang untuk mengimport, menyimpan dan mengguna Natrium Hidrosida

Permit Natrium Hidrosida
Permit yang dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Racun (Natrium Hidrosida) 1962 kepada seseorang untuk membeli, menyimpan dan mengguna Natrium Hidrosida

Permit Bahan Psikotropik - Permit yang dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Racun (Bahan-Bahan Psikotropik) 1989 kepada seseorang untuk membeli dan mengguna Bahan Psikotropik
 
RISIKAN DAN OPERASI
Aktiviti risikan dan operasi dijalankan hasil daripada maklumat dan aduan daripada orang ramai atau melalui gabungan operasi dengan Cawangan Penguatkuasaan farmasi negeri lain serta Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM. Sebelum sesuatu serbuan dijalankan, risikan yang teliti perlu dijalankan bagi memastikan bentuk dan gunatenaga serbuan.
Segala aduan dan maklumat yang diterima akan dijalankan risikan dan jika berasas akan disusuli dengan operasi serbuan demi membanteras kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang yang dikuatkuasakan.

PENYIASATAN DAN PENDAKWAAN
Siasatan terperinci akan dijalankan terhadap kes-kes pelanggaran undang-undang farmasi. Kes-kes tersebut kemudian akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjutan.

PEMERIKSAAN DI PINTU MASUK (PENGIMPORTAN)
Pemeriksaan terhadap pengimportan ubat-ubatan, kosmetik dan bahan kimia dijalankan oleh Cawangan-cawangan Penguatkuasa Farmasi Selangor di pintu masuk utama, iaitu Pelabuhan Klang dan di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. Saringan pengimportan dijalankan bukan sahaja melalui kargo tetapi juga terhadap pengimportan melalui pos, parcel, kourier dan juga bagasi penumpang.

TUJUAN SARINGAN:-
a) memastikan orang yang berkelayakan sahaja yang mengimport dagangan terkawal
b) produk-produk yang tidak berdaftar tidak dipesong ke negara kita

KAWALAN IKLAN
Selaras dengan perkembangan teknologi, masyarakat kini boleh menerima maklumat melalui pelbagai sumber media massa. Pengiklanan pelbagai produk tidak berdaftar dan mengandungi bahan racun berjadual semakin banyak didapati dalam majalah-majalah, akhbar, televisyen, radio dan internet. Pegawai Penguatkuasa Farmasi berperanan mengawal pengiklanan ubat dan barangan farmaseutikal selaras dengan peruntukan dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

PERLINDUNGAN PENGGUNA
Aktiviti utama unit perlindungan pengguna adalah memberi fokus kepada menyebarkan informasi dan memberi pengetahuan kepada orang awal tentang pengawalan, penggunaan dan penjualan ubat dan kosmetik dalam pasaran.
 
Penyebaran maklumat adalah dengan menggunakan media elektronik dan media cetak untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman kepada orang ramai. Cara pendekatan yang dijalankan adalah dengan memilih kumpulan sasaran yang terdiri dari individu, ahli keluarga pesakit, orang awam dan juga kakitangan kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak dengan pembelian dan pengambilan ubat-ubatan dan kosmetik.
 
Antara pencapaian unit ini adalah:
1) Mengedarkan poster dan risalah Kenali Ubat Anda kepada orang ramai semasa sesi pameran dan ceramah.
2) Mengedarkan kalendar kepada orang ramai yang mempunyai informasi dan pesanan berkenaan penggunaan ubat berkualiti.
3) Menyebarkan maklumat dan memberi pendidikan kepada orang ramai melalui penglibatan dalam aktiviti pameran dan ceramah di sekolah-sekolah dan juga pejabat-pejabat kerajaan.
Agensi kerajaan, orang awam dan NGO yang berminat untuk mendapatkan khidmat unit perlindungan pengguna dalam memberi pengetahuan dan kesedaran kepada orang awam boleh menghubungi pegawai bertugas Unit Perlindungan Pengguna, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
 

myGov.fw moh.fw jpa.fw
info sihat.fw myhealth.fw

Jumlah Pengunjung: 8662297

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

  • Tarikh Kemaskini: 20 Mei 2020

 

Totop Scroller